29 May 2011

Double Trouble Melaka


Malam semalam aku sempat berkunjung ke Konsert Double Trouble Melaka yang di Stadium Hang Jebat. Sebelum ini aku dah tengok juga konsert yang sama kat Kiara dan JB tapi demi semangat nak layan gak konsert yang terakhir ini, aku teruskan. Paling best kali ni aku dapat tiket RM 300. Wow..




 Teruja juga  bila dapat duduk bawah stage sambil layan otai rockers live. Sebelum ini hanya dapat tiket RM 70 je, so kena duduk jauh nun kat belakang. Apabila konsert dah nak start, yang tidak bestnya ruangan untuk penonton RM 300 tu masih kosong. Aiseyman, ini yang potong ini. Adalah dalam 12 orang jer yang penuhkan ruangan tu. Aku tak penah lak selama ini tengok konsert dengan ruangan yang longgar macam tu. Kat bahagian RM 70 tu jangan cakap lah pack dia, dengan rockers Melaka, JB, N9, KL, Sabah, Indon pun ada, macam tu baru happenning.


Tapi semangat punya pasal layan kan juga. First yang keluar Search dulu. Layan betul Amy punya suara tetap power macam dulu-dulu juga. Selepas sejam setengah, Wings pula masuk menghiburkan. Dan yang menarik Wings main sekali dengan otai gitar, Hillary untuk sepanjang konsert. Aku memang balik puas hati dengan konsert tu macam biasa, macam konsert-konsert mereka sebelum ini. Takkan nak lepaskan peluang layan konsert otai-otai ini kat Negeri Melaka lak tu. Chiow..

23 May 2011

Futsal dan Dadah

Mungkin tiada pertalian antara sukan futsal dan dadah namun apa yang berlaku hari ini di Jasin, satu pertandingan futsal yang dianjurkan oleh sebuah agensi Kerajaan berkaitan dadah talah diadakan bertujuan untuk membudayakan sukan di samping memberikan pendidikan mengenai bahaya dadah kepada belia-belia sekitar dun Bemban. Pertandingan yang diberi nama Pertandingan Futsal Belia Benci Dadah kalau tak silapnya lah telah mendapat sambutan di mana sebanyak 16 pasukan menyertainya. Hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh YB Chua selaku ADUN kawasan.

p/s: harap lepas ini aktiviti sebegini dapat diadakan di semua dun, jangan tak buat apa-apa aktiviti lak sampai gelanggang futsal yang puluhan ribu harganya jadi sarang budak-budak dadah lak. Tahniah Belia Bemban..

18 May 2011

Katak Umpan

Tadi petang, disebabkan cuti hari Wesak aku pun plan kononnya nak memancing kat sungai dalam kampung je. Plan punya plan, bila hari pun dah petang bini aku minta tolong tidurkan anak sebelum nak keluar memancing. Maka melihat mata anak bujang aku yang terkebil-kebil menahan rasa mengantuk, aku dengan confidentnya setuju.

Langkah pertama, aku pun pergilah kat dapur untuk bancuhkan susu, ini kira dia punya ubatlah bila nak tidur. Lepas bancuh, aku siapkanlah bantal kegemaran anak aku bawak depan tv. Sambil layan cite kartun apa ntah, tiba-tiba anak aku bertanya "bantal abah ane?". Malas nak kecoh, aku amik la juga bantal yang anak aku tahu itu bantal kegemaran aku lak.

Sambil menyusu botol, anak aku suh peluk die. Dah memang dari kecik dia kalau nak tidur nak aku peluk dan pupuk dia sampai lena. Pupuk punya pupuk, mata aku pun dah mengantuk sangat tapi ku tahan juga memandang teringat pada umpan katak yang aku dah beli dah dah letak pun dalam bakul motor aku.

Lepas je die tidur, aku terus je keluar ke tempat yang aku dah spot banyak ikan. Labuhkan je mata pancing, ikan dah ragut umpan yang aku pasang tu. Kira-kira dah ada 5-6 ekor gak haruan dalam bekas simpanan yang aku bawak. Siap la, malam ni dah boleh minta bini aku masak kan lauk haruan, tak kisah lah apa pun lauknya. Goreng pun sedap.

Tiba-tiba je aku tersedar, aku terdengar azan magrib berkumandang. Ceh, aku tertidur rupanya. Lagi yang buat aku geram, anak aku tu elok jer bersila sambil mengadap rancangan agama untuk kanak-kanak kat tv9 tu. Rupa-rupanya dia tak tidur, aku yang terbabas tidur. Terlepas plan aku nak memancing sampai masuk ke dalam mimpi. Bini aku membebel cakap tu la tidur lepas asar sangat, bila aku ceritakan mimpi aku.

Lepas magrib tadi, aku teringat lak kat anak katak yang aku letak kat dalam bakul motor tu. Terus aku lepaskan kat tepi longkang depan rumah. Takkan nak simpan lama plak, nak memancing pun kena tunggu hari cuti baru boleh. Dan sekarang masa dah nak masuk tidur, anak bujang tu pun dah lama lena tertidur. Tapi masih terdengar bunyi katak di depan rumah, maklumlah lepas hujan. Dalam hati aku kata "mungkin katak itu dah ditentukan panjang umurnya untuk terus memanggil hujan". Nasib kau la katak.

17 May 2011

Roti Canai


Pagi tadi aku dapat sms dari kawan yang ajak bersarapan bersama, dalam sms dia berbunyi "sarapan jom kat kedai roti canai a.molek". Aku pun dengan semangatnya terus bagitau orang rumah nak pergi sarapan dan tanya nak kirim apa-apa tak. Lepas sampai tu, terus aku order, dan memandangkan kawan aku tu lom sampai jadi aku duduk la dulu kat meja paling dekat dengan kaunter.

Tiba-tiba aku dapat sms lagi dari kawan aku ni yang cakap "sangat lama la ko", ini petanda macam lama dah dia tunggu aku. Aku pun perhati sekeliling, kot la dia dah sampai aku yang tak perasan. Puas aku perhati takde pun kelibat mamat sorang ni. Lagi bukan besar sangat kedai roti canai Black (orang kampung panggil tokey dia black) ni.

Tak puas hati, aku balas sms dia balik, "berapa lama dah mahu tunggu, punggung aku pun dah kematu, ko x sampai-sampai lagi". Rupa-rupanya dia pergi sarapan kat kedai lain, aku pi sarapan kat kedai lain. Akhirnya aku dan dia mentekedarah sendiri-sendiri sorang-sorang. Pengajarannya lain kali sms nak ajak tu, bagilah detail kedai mana. Punya lah banyak kedai roti canai kat kampung aku ini. Kedai black ada, mat rafi pun ada, macam-macam lagi la.

Pesta Sungai Melaka 2011

Menjelang saja bulan Jun setiap tahun, Melaka akan mengadakan Pesta Sungai Melaka yang berlangsung selama sebulan melibatkan penganjuran pelbagai program bagi menarik kedatangan pelancong ke Melaka. Untuk Tahun 2011 pula, pihak penganjur nampaknya telah menyediakan sebanyak 52 program termasuklah yang bercorak rekreasi, sukan air, pameran dan ilmiah bagi memeriahkannya.

Sasaran pelancong yang diharap dapat ditarik datang ke Melaka merangkumi pelancong antarabangsa dan domestik. Nampaknya banyak juga lah peluang untuk orang Melaka yang ingin menambah pendapatan dengan berniaga perbagai barangan dari cenderamata hingga ke makanan disepanjang pesta ini berlangsung.

Penganjur juga telah menyediakan laman web rasmi untuk pengunjung melihat sendiri tentatif program yang telah dirancangkan sepanjang program berlangsung. Namun, idea meletakkan gambar 'eye on Malaysia' aku rasakan kurang sesuai berikutan benda alah tu telah lama tiada dari tapak asalnya. Yang ada pun kini satu roda lain yang jauh lebih kecil yang digelar oleh orang Melaka sendiri sebagai 'eye on Melaka' yang terletak di tapak stesen bas lama.

Apa-apa pun Pesta Sungai Negeri Melaka pastinya menjanjikan sesuatu yang menarik untuk dikunjungi bersama keluarga atau rakan. Ingat Jun, Ingat Pesta Sungai Melaka. Mari kita meriahkan. Untuk maklumat lanjut, Klik sini Pesta Sungai Melaka.

16 May 2011

Nenek ku

Hari ini heboh dalam surat khabar menceritakan kisah seorang pemuda yang telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana didapati bersalah membunuh nenek sendiri. Sebab membunuh adalah kerana mungkin kerana marah berikutan gagal mendapatkan duit sebanyak RM 50 yang diminta untuk belanja teman wanitanya keluar dating. Macamana manusia yang sempurna akalnya sanggup berbuat demikian semata-mata demi wang bernilai RM 50, itu memang betul-betul sukar difahami.

Kisah ini telah mengingatkan aku dengan nenek aku yang kini sudah berusia hampir 80 tahun. Nenek lah yang membesarkan aku sehingga aku berjaya menjadi manusia. Sejak umur 4 bulan sampai ke universiti, nenek lah yang menjaga makan minum, pakai dan segalanya untuk ku. Sampaikan aku kahwin pun, kenduri aku buatkan di rumah nenek.

Punyalah banyak jasa nenek dan arwah atuk yang menjaga dan membesarkan aku. Tahanlah mereka dengan perangai nakal dan kerenah aku. Aku dimanjakan macam anak bongsu mereka. Itu semua takkan aku lupa sampai bila-bila.

Mamat ini kalau berada ditempat aku pasti tidak akan sekali-kali sanggup menyakiti neneknya sampai macam tu sekali. Hatta batuk sekalipun, akan segera dicari ubat bagi melegakannya. Aku harap mamat sempat lah bertaubat sebelum ajal menjelang dan sebelum algojo melaksanakan tugas mengantung kau wahai mamat. Akhir sekali, aku nak bagitau aku sayang nenek aku.